Diariku

Saya mula berkenalan dengan Multilevel Marketing (MLM) pada usia 19 tahun iaitu selepas tamat saja alam persekolahan pada tahun 1986. Namun ia hanya bertahan beberapa bulan kerana kekurangan ilmu dan bimbingan.

Saya memilih MLM kerana minat yang mendalam dalam perniagaan tetapi mempunyai modal yang sangat sedikit. Dunia MLM sebenarnya membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang mencari peluang perniagaan tetapi kurang keupayaan dari segi modal dan ilmu. Dalam MLM, ilmu sentiasa diberi oleh mentor secara percuma.

Kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Kegawatan ekonomi pada tahun 1997 menyebabkan perniagaan suami mengalami kejatuhan. Saya bersama suami mula menceburi bidang MLM semula.

Walaupun sibuk dengan anak-anak yang masih kecil dan menguruskan rumah tangga, saya tetap nekad membahagikan masa sebaik mungkin untuk berjaya dalam MLM kerana nampak potensi MLM yang hanya memerlukan modal kewangan yang kecil tetapi boleh mendatangkan pendapatan lumayan yang dapat membantu kehidupan diteruskan dengan sempurna.

Dalam pencarian, sebelum terlibat dengan syarikat yang disertai sekarang ini, saya sebenarnya telah menyertai 7 buah syarikat MLM yang dibuat secara serius. Walaupun tidak dapat mencapai sasaran dan kegagalan demi kegagalan dialami, ianya bukan pematah semangat, tetapi ianya dijadikan ilmu, bagaimana untuk bijak memilih syarikat , mentor atau ketua serta pandai menjadi seorang mentor yang boleh mendidik jaringan di bawah untuk sama-sama meraih kejayaan.

Setelah 8 tahun bersama dengan sebuah syarikat MLM yang mengeluarkan sendiri produk kesihatannya. Saya kini memperolehi pendapatan yang membolehkan kelangsungan hidup bersama 6 orang anak yang bersekolah serta memiliki kenderaan MPV sendiri (secara konsisten).

Sebelum berjaya ke tahap sekarang, banyak liku-liku yang mesti dihadapi.. Antaranya setiap hari keluar selepas anak-anak yang bersekolah pergi ke sekolah. Bawa anak kecil dengan berjalan kaki, kadang-kadang meminjam basikal jiran bersama sebakul produk untuk diperkenalkan dan dijual.

Ada masanya, downline yang ada kenderaan akan membawa saya ke rumah teman-teman untuk buat "party".

Pelbagai cara difikir, dipelajari dan dilaksanakan untuk mencapai sasaran (target) yang ditetapkan dalam perniagaan.

TIADA JALAN PINTAS UNTUK MENIKMATI KESELESAAN DALAM HIDUP 

Sekali penolakan dibuat oleh pelanggan, sekali lagi ilmu akan bertambah dan begitulah seterusnya. MLM sebenarnya adalah kerja mulia kerana untuk berjaya kita mesti menjayakan orang lain juga.

Pasang cita-cita (target) yang jelas. Tuju dan laksanakan dengan penuh keyakinan dan kesabaran. Jangan terlalu laju mengejar target kerana akan cepat penat dan mungkin berhenti dipertengahan jalan. Biar lambat "sedikit", asal selamat sampai ke destinasi dan dapat bertahan dengan kejayaan yang diperolehi.

Salam Kejayaan

Ikhlas dari saya

Azieaziz
http://www.aziegroup.blogspot.com/